Skip to content

200,000 langgan UniFi

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tingginya (HSBB) Telekom Malaysia Bhd. (TM), UniFi, telah berjaya mengumpulkan lebih 200,000 pelanggan, sekali gus mengatasi sasaran ditetapkan menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, perkembangan itu boleh dibanggakan memandangkan produk itu baru dilancarkan satu setengah tahun yang lalu.

“Ia menandakan keberkesanan operasi berbanding perkhidmatan Jalur Lebar Untuk Masyarakat Umum (BBGP) kami iaitu Streamyx, di mana mengambil masa selama tiga tahun untuk mencapai jumlah 200,000 pelanggan dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa ini, UniFi ditawarkan di 77 kawasan ibu sawat dan jumlah premis sedia dipasang telah mencecah sebanyak 1.09 juta.

Ia membabitkan 61 kawasan di Lembah Klang, Nusajaya di Iskandar Malaysia, kawasan- kawasan perindustrian di seluruh negara, termasuk lapan di Johor, tiga di Pulau Pinang, dua di Kedah dan satu masing-masing di Perak, Negeri Sembilan serta Melaka.

Kata Zamzamzairani, TM amat berterima kasih kepada para pelanggannya yang mempercayai produk TM.

“Kami merekodkan purata langganan antara 15 hingga 20 peratus dari jumlah premis sedia dipasang di mana melangkaui anggaran asal iaitu 10 peratus.

“Seterusnya, syarikat menjangkakan kadar langganan UniFi kepada 50 peratus dalam jangka masa tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya lagi.

Tambah beliau, perlaksanaan projek HSBB TM adalah antara yang terpantas di Asia Pasifik selain perbelanjaan modal rangkaian TM merupakan antara yang terendah di dunia.